Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menyambut baik kejayaan Bonnie Bunyau Gustin dan Yee Khie yang menempah slot ke Sukan Paralimpik Tokyo tetapi mengelak daripada meletakkan beban tinggi.

Menerusi perkongsian bersama Naib Presiden MPM, Noor Syahieda Mat Shah, mereka menetapkan sasaran buat dua atlet powerlifting negara itu dalam temasya di Jepun yang bermula 24 Ogos hingga 5 September depan.

Selepas Bonnie memecah rekod dunia kategori 72kg, minggu lalu, Yhie Kee pula meraih pingat perak dalam Kejohanan Piala Dunia powerlifting para apabila mengangkat bebanan 239 kilogram dalam kategori bawah 107 kg.




Namun, angkatan itu belum cukup untuk menewaskan wakil dari Russia yang memperoleh pingat emas dengan angkatan 240 kg.

"Bagi mewakili pihak MPM, kami gembira dengan kejayaan Bonnie dan Yee Khie.

"Ia satu persembahan yang mendebarkan buat kami sebab tidak banyak kejohanan yang mereka dapat sertai pada tahun ini.

"Kali terakhir di Thailand, Alhamdulillah. Masa itu prestasi mereka sangat baik dan di Dubai pula, inilah detik paling penting sebab ia adalah kelayakan terakhir untuk ke Sukan Paralimpik.

"Kami tidak janjikan sebarang kilauan pingat tapi kami sasarkan kelompok tiga terbaik untuk Bonnie, Yee Khie pula antara kelima terbaik," katanya.