Persatuan Tenis Kerusi Roda Malaysia (WTM) bakal melalui transformasi apabila mengadakan sesi pemilihan ketua jurulatih baru dengan misi melayakkan atlet ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

WTM memilih pendekatan berbeza untuk memastikan atletnya mampu layak ke temasya Tokyo 2020 dengan memberi peluang kepada atlet untuk memilih jurulatih.

Pemain negara, Abu Samah Borhan, memuji pendekatan berkenaan kerana ini merupakan kali pertama atlet diberi peluang untuk menyuarakan pendapat dan turut terlibat dengan pemilihan jurulatih.

"Pada saya, ini (langkah) yang bagus kerana memberi ruang kepada atlet untuk menyatakan pendapat dan pandangan demi yang terbaik untuk memajukan pasukan," katanya.

Dua calon yang bakal melalui fasa terakhir sesi pemilihan adalah jurulatih Kuala Lumpur, Azizul Azhar Ahmad, dan bekas pemain tenis negara, Ashaari Zainal Abidin.

"Kalau saya dilantik WTM, saya mahu membantu atlet negara sebagai persiapan mereka mengharungi Sukan Paralimpik 2020," ujar Azizul.

Dalam masa sama, Ashaari mengenal pasti aspek yang perlu ditekankan dalam usaha atlet para negara meniti laluan ke Tokyo.

"Sepanjang latihan selama dua hari di bawah pemantauan saya, saya dapati mereka mempunyai kekurangan dalam aspek taktikal.

"Kalau mereka tingkatkan aspek itu, saya tidak terkejut kalau mereka akan layak ke Sukan Paralimpik 2020," katanya.