Atlet lompat jauh negara, Abdul Latif Romly, menyifatkan misinya dalam Sukan Para Asia Jakarta selesai setelah memecahkan rekod dunia dalam kategori T20 menerusi lompatan 7.64 meter, hari ini.

Latif melakukan penampilan kedua di pentas Sukan Para Asia dengan reputasi hebat selaku pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016.

Dia membawa misi untuk mempertahankan emas sambil mengintai peluang memperbaharui rekod dunia miliknya, 7.60m, yang dilakukan di Rio, dua tahun lalu.

Tidak mampu dicabar atlet lain, Latif tampil dengan penguasaan hebat untuk memenangi emas walaupun baru pulih daripada kecederaan lutut.

Namun, apa yang lebih manis semestinya dia memadamkan catatan lamanya yang juga rekod dunia selepas melakukan lompatan 7.64m dalam final.

"Memang saya datang ke sini dengan sasaran untuk memecahkan rekod serta mempertahankan emas. Alhamdulillah, misi saya sempurna.

"Jurulatih banyak beri semangat walaupun saya mengalami sedikit kecederaan. Terima kasih kepada peminat di Malaysia yang menyokong dan mendoakan kami," katanya.

Latif jauh menewaskan dua atlet Jepun, Kokubo Kanta dan Yamaguchi Mitsuo, yang meraih perak dan gangsa dengan catatan 6.79m dan 6.68m.

Ditanya mengenai perancangan dan tumpuannya selepas berakhir temasya Sukan Para Asia, dia menjawab: "Untuk sasaran seterusnya, saya ingin melayakkan diri ke Sukan SEA dan Kejohanan Dunia Para tahun depan."