Sukan Para Asia Jakarta 2018 dari 6-13 Oktober ini tetap menjadi keutamaan Abdul Latif Romly yang ketika ini dalam dilema sama ada mahu mempertahankan emas Sukan Malaysia (Sukma) ataupun tidak.

Sukma 2016 di Sarawak mengukuhkan kemampuan Latif bersaing dengan atlet normal apabila dia memenangi emas.

Reputasinya itu terus dibentuk apabila membuat penampilan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di samping mengungguli Terbuka Kuala Lumpur bulan lalu dengan catatan 7.85 meter yang juga catatan peribadi terbaiknya.

Tetapi sejak beberapa hari lalu, kaki kanan Latif mula dibelenggu kecederaan menjelang perancangan membuat penampilan terakhir dalam Sukma.

"Bermula minggu lalu, saya mengalami kecederaan ketika menjalani latihan. Saya berharap ia tidak akan membelenggu persembahan saya," kata Latif.

Atas dasar itu, terbit dilema buat Olahragawan Kebangsaan 2016 itu yang mengetahui misi sebenarnya adalah dalam Sukan Para Asia 2018.

Bukan sahaja memikul misi perlu mempertahankan pingat emas, malah membaharui rekod para dunia klasifikasi T20 yang juga miliknya.

"Sebagai jurulatih, kami mahu memastikan atlet tidak mengalami kecederaan sebelum kejohanan utama yang bakal disertai mereka," kata jurulatih olahraga para negara, Mohd Syahrul Amri Mohd Suhaimi.

"Kami meletakkan sasaran tinggi buat Latif untuk meraih emas di Jakarta nanti."