Jurulatih memanah Para negara, Marzuki Zakaria, yakin tiga pingat emas mampu dijelmakan oleh barisan kendaliannya dalam Sukan Para ASEAN di Kuala Lumpur, September depan, biarpun mempertaruhkan ramai muka baru.

Untuk acara lelaki recurve, selain mempertaruhkan Hasihin Sanawi, Marzuki membariskan dua pemanah baru, Ahmad Jeffri Jamaluddin dan S. Suresh.

Mereka mempamerkan aksi memberangsangkan, antaranya Jeffri yang yang berjaya merangkul emas dalam Kejohanan Memanah Para di Bangkok, Mac lalu, manakala Suresh berjaya merangkul perak dalam Kejohanan Memanah Antarabangsa Fazza Dubai, awal tahun ini.

"Kami menetapkan sasaran berdasarkan Sukan Para ASEAN di Singapura, di mana mereka memperolehi satu pingat emas dan perak," ujar Marzuki.

Mengakui berdebar untuk membuat penampilan pertama dalam temasya Sukan Para ASEAN, Jeffri dan Suresh tetap akan memberikan aksi terbaik bagi menyaingi pemanah negara lain.

Mereka akan menjadikan Republik Czech sebagai destinasi persiapan sebelum kembali ke Malaysia untuk mengibarkan cabaran pada September nanti.

"Misi peribadi saya adalah emas berdasarkan aksi konsisten saya ketika ini.

"Untuk itu, saya perlu konsisten dalam Sukan Para ASEAN nanti dan dalam masa yang sama, saya berasa sedikit gementar," kata Suresh.

Jeffri turut melaungkan keyakinan apabila berpeluang menjalani persiapan rapi menerusi pertandingan di luar negara.

"Kami sudah memulakan latihan berintensiti tinggi.

"Kami akan menyertai pertandingan di luar negara sempena menghadapi Sukan Para ASEAN nanti," katanya.