Atlet ping pong para negara kini berada di landasan tepat mengharungi persiapan rapi bagi memburu pingat emas dalam Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur, September depan.

Selepas 10 hari berada di Itali bulan lalu bagi menjalani latihan, pemain ping pong, Mohd Azwar Bakar, kini bertanggungjawab mengendalikan kejohanan sempena Karnival Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Sabtu ini di mana skuad ping pong para negara turut terlibat.

Azwar, yang meraih satu pingat perak dan gangsa di Sukan Para ASEAN 2015, menyifatkan latihan terbaik buat atlet para adalah dengan mencabar diri beraksi bersama pemain normal untuk mendapatkan pendedahan yang lebih baik.

"Saya menganjurkan satu pertandingan untuk memberikan pendedahan kepada atlet para beraksi bersama atlet normal. Kami akan ke Taiwan untuk menjalani latihan sebelum kembali ke Malaysia," kata Azwar.

Selepas memperoleh dua pingat emas di Singapura dua tahun lalu, jurulatih, Ng Tong, menyasarkan anak buahnya mampu meraih lebih banyak pingat emas, apatah lagi pemain muda seperti Chee Chao Ming yang dilihat mampu menggalas tugas bersama pemain senior lain ketika ini.

"Kami akan cuba yang terbaik menghadapi kejohanan ini. Berdasarkan kedudukan, Indonesia merupakan cabaran yang paling kuat," jelas Ng Tong.