Skuad badminton para berhasrat untuk memastikan sasaran empat pingat emas mampu dicapai mereka dalam Sukan Para ASEAN 2017.

Sasaran tersebut melebihi pencapaian dua emas, empat perak dan lima gangsa yang diperoleh skuad berkenaan dalam edisi di Singapura dua tahun lalu.

Ketua jurulatihnya, Moe Chin Kiat, sudah menyediakan persiapan rapi buat 26 pemainnya sejak tiga bulan lalu dan melihat kemampuan mereka sudah berada di tahap yang diinginkan.

Skuad negara dijangka menghadapi halangan sukar daripada wakil Indonesia yang sering kali menafikan hasrat Malaysia untuk merangkul emas.

Bagaimanapun, pengurus pasukan, Dr Naharruddin Hashim, positif atlet yang merangkul perak di Singapura seperti Cheah Liek Hou bagi kategori perseorangan SU5, mampu merampas kembali kejuaraan itu.

"Daripada 14 acara yang dipertandingkan, kita mengharapkan empat atau lima emas dapat diraih.

"Sekiranya kita memberi tumpuan yang lebih dalam tempoh seminggu dua yang terakhir ini, saya percaya kita boleh mendapat lebih daripada apa yang disasarkan itu," katanya.

Acara badminton akan dipertandingkan di Arena Axiata dari 18 hingga 22 September ini.