Jurulatih lompat jauh para negara, Syahrul Amri Mohd Suhaimi, melahirkan kebimbangan terhadap prestasi anak buahnya, Mohd Saifuddin Ishak, untuk menghadapi Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 yang akan membuka tirai dua hari lagi.

Awal-awal lagi, Syahrul hanya meletakkan prospek pingat emas terhadap Abdul Latif Romly dalam kategori T20 dan Eryanto Baktiar bagi F46.

Namun, nama-nama seperti Saifuddin tidak diletakkan dalam radar itu selepas atlet berkenaan sudah setahun bergelut dengan masalah lutut kanan sejak berakhirnya Sukan Para ASEAN Singapura 2015.

Ketika itu, dia berjaya menyumbangkan emas apabila melakukan lompatan sejauh 6.62 meter dalam kategori T12.

"Keadaannya semakin baik.

"Tetapi, dari segi teknik masih perlu diperbetulkan, begitu juga dengan corak lariannya yang perlu ditingkatkan," kata Syahrul.

Berbanding atlet lain, Saifuddin mengakui persiapannya agak singkat dan masih mencuba untuk mendapatkan semula prestasinya dalam sesi latihan.

Catatan terbaik Saifuddin pada 2017 adalah 6.42m yang direkodkan dalam Kejohanan Olahraga Para Terbuka Paris, Mei lalu, yang melayakkannya merangkul perak.

Ia masih jauh jika dibandingkan dengan catatan peribadi terbaiknya, 6.94m, yang dilakar dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia di Doha pada 2015.

"Kalau kecederaan yang membabitkan pembedahan, ia memang mengambil masa yang lama untuk pulih.

"Rakan-rakan lain sudah pun mendapat momentum tetapi saya perlu bermula dari bawah semula.

"Insya-Allah saya boleh melakukannya tahun ini," kata Syahrul.

Sementara itu, kontinjen-kontinjen dari negara serantau, khususnya yang terlibat dalam acara olahraga, telah mula memenuhi padang trek olahraga Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil untuk menjalani sesi latihan sebelum menghadapi temasya ke-9 itu.

Kebanyakan daripada mereka cuba menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan persekitaran.

Rata-rata mereka berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan penganjur memandangkan kawasan trek olahraga MSN adalah antara yang dinaik taraf untuk menghadapi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN.

"Ya, ia sangat bagus.

"Ini kali keempat kami sampai di sini sejak 2016.

"Venue di sini dianggap bertaraf dunia," kata jurulatih olahraga para Filipina, Bernard L. Buen.

Atlet olahraga para kategori T11 Kemboja, Eng Channa, turut memuji kemudahan yang disediakan dengan berkata: "Di sini tidak ada gangguan, pencemaran bunyi dan udara."