Penundaan Sukan Para ASEAN Filipina ke Mac depan menyaksikan jurulatih lontar peluru negara, Faizol Harun, terpaksa merencana semula program latihan buat Ziyad Zolkefli tahun depan.

Mengikut perancangan asal, Faizol bercadang menghantar anak didiknya itu ke Jerman bagi menjalani latihan intensif Mac depan, sebulan selepas selesai temasya dwitahuan itu bagi persiapan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Namun, penundaan tersebut menyaksikan pengendali berusia 38 tahun itu terpaksa merencana semula perjalanan Ziyad bersama pihak Majlis Sukan Negara (MSN) dalam masa terdekat.

Faizol turut menolak pengguguran atlet berumur 29 tahun itu dalam Sukan Para ASEAN kerana ia akan menjadi kejohanan pemanas badan sebelum temasya di Jepun membuka tirai pada Ogos depan.

"Perancangan asal kami ialah latihan di luar negara, saya mungkin terpaksa ubah jadual, mungkin ia diadakan awal atau selepas Sukan Para ASEAN," katanya.

Bagaimanapun, perubahan program tetap akan berlaku selepas rata-rata anak buah kendaliannya, yang berada dalam keadaan bersedia untuk kejohanan, terpaksa menjalani latihan semula.

"Saya harap atlet-atlet muda boleh buat yang terbaik.

"Disebabkan penundaan Sukan Para ASEAN juga, kami terpaksa mengubah program atlet yang kini dalam keadaan suasana bertanding."