Harapan untuk mengetahui status penganjuran Sukan Para ASEAN 2020 tergendala setelah persidangam video sebentar tadi tergendala gara-gara masalah internet selain tidak mendapat sambutan daripada ahli anggota negara yang menyertainya.

Persidangan yang berlangsung di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan itu menyaksikan Malaysia diwakili Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin; dan Setiausaha Agung, Datuk R. Subramaniam.

Bagaimanapun, masalah teknikal merencatkan persidangan itu yang menyaksikan ia tergendala hampir setengah jam.

Selain itu, persidangan yang sepatutnya disertai 10 anggota itu menyaksikan Brunei dan Myanmar tidak menyertainya.

Ia jelas mengecewakan tatkala Malaysia amat berharap Filipina dapat memberi kata putus mengenai status penganjuran temasya itu setelah ia sudah pun tertangguh sebanyak dua kali.

"Mereka (Brunei dan Myanmar) mungkin sudah pun mempunyai jawapan yang tidak mahu dkongsi atau akan memaklumkannya secara bertulis, sebab itu mereka tidak menyertai sidang ini.

"Saya tidak mahu bersikap negatif tetapi capaian internet sangat teruk.

"Kebiasaannya dalam sidang seperti ini, taklimat sepatutnya diberikan terlebih dahulu sebagai panduan kepada peserta tentang apa yang mahu dibincangkan dan giliran siapa yang akan bercakap, selepas itu barulah sesi terbuka.

"Tetapi kalau semua orang mahu bercakap, tiada penyelesaian boleh dibuat," katanya kepada sidang media.