Dua atlet olahraga para negara, Mohd Nordin Ibrahim dan Ahmad Rafee Ariffin, tidak terkilan tiada dalam perancangan jurulatih, R. Jeganathan, dalam kempen Malaysia ke Kejohanan Olahraga Dunia IPC di London, bulan depan.

Hanya tujuh atlet yang akan dibawa ke London.

Walaupun Nordin dan Rafee tidak disenaraikan, mereka tidak berputus asa, sebaliknya berikrar untuk menebus kekecewaan dalam Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur, September depan.

Nordin, yang bertanding dalam kategori T20, menyasarkan tiga emas dalam acara lari jarak jauh 800 meter, 1,500 meter dan 5,000 meter.

"Sasaran saya adalah meraih tiga pingat emas untuk negara. Saya perlu bekerja lebih keras dalam sesi latihan," ujarnya.

Rafee, yang bakal buat penampilan ketujuh dalam Sukan Para ASEAN, mempunyai misi tersendiri bagi edisi kali ini.

Meskipun pernah meraih emas dan perak dalam acara jarak jauh (800m dan 1,500m) kategori T47, dia masih gagal memenangi sebarang pingat bagi acara 400 meter sejak membuat penampilan dalam Sukan Para ASEAN Korat 2007.

"Untuk acara pilihan seperti 800m dan 1,500m bukan satu masalah tetapi untuk acara 400m, saya akan berikan yang terbaik kerana senarionya berbeza," kata Rafee.