Malaysia menuntut tuan rumah Sukan Para ASEAN 2020, Filipina, supaya menimbang semula keputusan menganjurkan temasya itu dalam waktu terdekat memandangkan gelombang kedua wabak koronavirus baru (Covid-19) kian meruncing dan mampu mengancam nyawa.

Status penganjuran temasya edisi ini menjadi tanda tanya memandangkan masih belum ada sebarang kata putus daripada persidangan video semalam yang membabitkan barisan presiden dan exco Majlis Paralimpik seluruh rantau Asia Tenggara.

Malaysia turut mempersoalkan keputusan tuan rumah itu yang tidak mengikut prosedur ketika mengumumkan tarikh baru, dari 26 Mei hingga 2 Jun depan.

Tarikh itu turut bertindih dengan sambutan Aidilfitri selain terlalu hampir dengan penganjuran Sukan Paralimpik Tokyo Ogos depan.

Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menerusi Presiden, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, menawarkan penyelesaian supaya temasya itu dilangsungkan selepas tamat Sukan Paralimpik di Tokyo.

"Jika 26 Mei ditetapkan, ia lebih kurang 60 hari dari sekarang.

"Jadi bila sepatutnya ia diumumkan? Mereka sepatutnya mengumumkannya bulan lalu.

"Mereka tidak membuat sebarang pengumuman sehingga saya membangkitkan isu ini.

"Apabila mereka mengumumkan tarikh 26 Mei itu, mereka kata Malaysia sudah bersetuju (sedangkan)
kami tidak pernah bersetuju.

"Jadi, ia disalahgunaka, jadi kami tidak mahu perkara itu berlaku," katanya dalam satu sidang media semalam.

Sekiranya Filipina berkeras untuk meneruskannya mengikut tarikh yang diusulkan, ia dikhuatiri tidak mendapat penyertaan yang menyeluruh tatkala beberapa negara di rantau ini masih dalam keadaan berjaga-jaga ekoran penularan wabak berkenaan.

"Sekiranya ia berlangsung terlalu hampir dengan Sukan Paralimpik, saya fikir kami tidak akan menyertainya berdasarkan nasihat secara profesional.

"Bagaimana anda boleh menyertai satu kejohanan dan kemudian terus menyertai satu lagi kejohanan.

"Ia melibatkan dua kejohanan utama, jadi ia tidak masuk akal," tambahnya.

Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) kemudian mengumumkan tarikh baru untuk temasya dwitahunan itu, iaitu 3 hingga 9 Oktober depan bergantung kepada wabak Covid-19.