Atlet lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly, mahu memecahkan rekod dunia 7.6 meter yang dilakukannya dalam Sukan Paralimpik Rio 2016 apabila turun beraksi di pentas Sukan Para ASEAN 2017 yang akan bermula 17 September ini.

Latif tidak mahu terus diselubungi kekecewaaan selepas aksi terakhirnya di pentas dunia dalam Kejohanan Olahraga Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) di London, Julai lalu berakhir dengan catatan 7.37m.

Anak jati Perlis itu mengharapkan nasibnya lebih baik dalam aksi Sukan Para ASEAN selepas kemunculan dalam Sukan SEA 2017 gagal menghadirkan pingat buatnya.

“Secara peribadi, memang saya mahu memperbaiki rekod ketika beraksi dalam Sukan SEA 2017 tetapi atas faktor kesihatan, saya tidak berjaya.

“Sukan Para ASEAN 2017 adalah medan terbaik untuk saya menebus kekecewaan dan bertekad akan beraksi sebaik mungkin,” katanya.

Peluang masih ada untuk Latif dan sasaran itu kini dibawa ke saingan yang bakal bermula 17 September ini, sekaligus memberikannya harapan untuk mempertahankan pingat emas yang diraih dua tahun lalu.

“Saya tidak pasti dengan persaingan yang akan saya hadapi, semua atlet mengharungi proses latihan yang berlainan.

“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku ketika waktu perhitungan tetapi harus lebih berhati-hati.”