Ketua jurulatih olahraga para negara, R. Jeganathan, menyasar lebih daripada 30 pingat emas daripada lapangan olahraga dalam Sukan Para ASEAN 2017 walaupun hakikatnya beberapa acaranya telah digabungkan dan digugurkan.

Dalam temasya di Singapura dua tahun lalu, Malaysia berjaya membawa pulang 27 pingat emas hanya daripada sukan olahraga.

Selain mahu memperbaiki pencapaian itu, Jeganathan turutu mahu seiring dengan kejayaan atlet normal dalam Sukan SEA Kuala Lumpur.

Sebanyak 30 pingat emas yang perlu dicapai anak buahnya kali ini, justeru beliau mengakui ia bukan tugas mudah sekalipun tidak berganjak dengan jumlah yang ditetapkan.

"Ada acara digabungkan dan ada yang digugurkan. Jadi, ada kehilangan emas di situ. Tetapi atlet remaja boleh menampung dan boleh memperbaiki kedudukan daripada temasya di Singapura.

"Sebagai contoh, dulu kategori T36, F6 dan T37, F37 diasingkan, tetapi kali ini ia digabungkan. Dulu ada enam emas, sekarang ada tiga emas.

"Tetapi dalam acara lain yang mana kami boleh dapatkan emas, kami akan tumpukan terhadap kelemahannya bagi mengatasi kekuatan negara lain," katanya.

Jeganathan turut memberi keutamaan bagi mengatasi pencapaian Indonesia dan Thailand, yang sering berada di atas Malaysia dalam penganjuran terdahulu.

Selain daripada dua negara itu, Vietnam juga mencuri tumpuan dengan Jeganathan menganggap atlet para mereka menunjukkan peningkatan dalam Kejohanan Olahraga Dunia IPC di London, Julai lalu.

"Sekarang ini, Vietnam sudah bangkit. Kalau kami lihat baru-baru ini ketika berlatih bersama. Ada persaingan yang baik ditunjukkan daripada Vietnam.

"Selalunya olahraga (Malaysia) berada di kedudukan ketiga dan kali ini kami akan cuba memperbaikinya untuk menjadi nombor satu," tambahnya.