Ketua jurulatih skuad olahraga negara, R. Jeganathan, dan pemanah recurve para negara, S. Suresh, berharap Jawatankuasa Paralimpik Filipina mengambil serius dalam memutuskan tarikh Sukan Para ASEAN 2020, yang telah ditunda sebanyak dua kali sebelum ini.

Ia susulan status tarikh yang ditetapkan tuan rumah itu pada 26 Mei depan diragui apabila ia tidak mendapat persetujuan daripada Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF).

Bagaimanapun, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), juga tidak bersetuju dengan penetapan tarikh itu ekoran sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"​Kami memerlukan ketetapan untuk persediaan," kata Jeganathan.

"Jika sudah sah, semua jurulatih akan senang, bukan saya sahaja.

"Semua jurulatih akan gembira kerana kami masih boleh melakukan persediaan.

"Sekarang sudah bulan Mac, tinggal sebulan setengah lagi.

"Pihak penganjur perlu memutlakkan tarikh akhir.

"Jika bulan Oktober, ia baik-baik sahaja," katanya

Sementara itu, Suresh, tiada masalah untuk beraksi pada 26 Mei depan, sebaliknya sudah bersedia untuk menguji dirinya di Filipina sebelum ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Julai depan.

"Kami memilih sebelum Sukan Paralimpik kerana kami akan dapat melihat tahap prestasi kami.

"Sebab kami memang mahu menjadikannya sebagai persediaan sebelum ke Sukan Paralimpik," katanya.