Atlet renang Paralimpik negara, Jamery Siga, tidak mahu masalah kekejangan otot kembali membelenggunya dalam persiapan menghadapi Sukan Para ASEAN 2017 dari 17 hingga 23 September ini.

Masalah itu pernah mengganggu prestasinya dalam Sukan Paralimpik Rio, tahun lalu.

Jamery tidak mahu situasi itu terus menimpa dirinya, malah dalam temasya ini nanti, dia berjanji hal yang sama tidak akan berulang ketika dia merupakan sandaran utama untuk menyumbang emas buat negara.

Menerusi pencapaian dua emas dan satu perak dalam Sukan Para ASEAN Singapura dua tahun lalu, Jamery mengharapkan penampilannya kali ini lebih ampuh.

Dua acara yang disertainya membabitkan 200 meter gaya bebas dan 50m kuak kupu kupu, Jamery yakin dia mampu memenuhi tuntutan dua emas yang disandarkan kepadanya.

"Pada tahun ini, saya sudah pergi ke Belanda untuk kelayakan ke Mexico (Festival Sukan Paralimpik) bulan depan.

"Jadi, saya yakin prestasi saya ketika ini memang baik," katanya.