Menjelang Sukan Para ASEAN Filipina Oktober depan, jurulatih olahraga para, R. Jeganathan, memberi bayangan anak buahnya berkemungkinan berdepan tugas sukar.

Dia menjangkakan mereka tidak dapat menyamai kutipan 36 emas ketika di Kuala Lumpur tiga tahun lalu berdasarkan kekangan dialami ketika ini.

Jeganathan sudah pun membentangkan perkembangan semasa kem olahraga para berikutan penularan wabak koronavirus baru (Covid-19) ketika membuat persidangan video bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, hari ini.

Biarpun dia bersama barisan kejurulatihan yang lain telah mengeluarkan program latihan untuk dilaksanakan di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia tetap sukar untuk memantau sama ada prestasi mereka benar-benar latihan di Bukit Jalil.

Jeganathan juga tidak pasti sama ada PKP akan tamat 14 April ini dan seandainya ia dilanjutkan, skuad negara berdepan tempoh yang singkat untuk persiapan menghadapi temasya dwitahunan itu.

"Kami boleh menyertainya tetapi atlet perlu bermula dari awal.

"Atlet kehilangan kekuatan kerana mereka hanya boleh berlatih di dalam rumah sahaja bagi mengekalkan kecergasan masing-masing.

"Lagipun kami tidak pasti prestasi mereka ketika ini disebabkan tidak dapat memantau mereka dan hanya menyediakan program latihan sahaja," katanya kepada wakil Nadi Arena, Adam Zamri, hari ini.

Begitupun, dia tetap optimis barisan anak buahnya mampu tampil dengan lebih baik berikutan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 telah dianjakkan ke Ogos 2021 yang menyaksikannya mempunyai tempoh 16 bulan untuk memastikan Malaysia sekali lagi membawa pulang emas daripada temasya berprestij itu.

"Sukan Paralimpik akan dianjurkan tahun depan.

"Jadi kami masih boleh persiapan, tempoh masih panjang.

"Kami perlu kembali bermula dari bawah dengan menumpukan latihan spesifik termasuk pendedahan dalam kejohanan selain melibatkan kedudukan ranking," tambahnya.