Atlet ping pong Para negara kini berada di landasan tepat untuk mengharungi persiapan rapi bagi memburu pingat emas menjelang Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur, September depan.

Selepas 10 hari berada di Itali pada Februari lalu bagi menjalani latihan, Mohd Azwar Bakar kini diberi tanggungjawab untuk mengendalikan kejohanan sempena Karnival Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), Sabtu ini, di mana skuad ping pong Para negara turut terlibat.

Azwar yang meraih satu perak dan gangsa dalam Sukan Para ASEAN 2015 menyifatkan latihan terbaik buat atlet Para negara adalah dengan mencabar diri beraksi bersama pemain normal bagi tujuan pendedahan yang lebih baik.

"Kebetulan saya telah diserap sebagai kakitangan di UPM, jadi saya mengadakan satu kejohanan untuk atlet Para supaya mereka dapat beraksi berdepan atlet normal.

"Ini adalah medan terbaik untuk persiapan skuad ping pong Para negara.

"Selepas ini, kami akan menyertai kejohanan di Taiwan dan beberapa kejohanan lagi dengan berdepan atlet normal di Malaysia sebagai persiapan menghadapi Sukan Para ASEAN di Kuala Lumpur," katanya.

Selepas memperolehi dua emas di Singapura dua tahun lalu, jurulatih negara, Ng Tong, mensasarkan anak buahnya mampu meraih lebih banyak emas, apatah lagi pemain muda seperti Chee Chao Ming yang dilihat mampu menggalas tugas bersama pemain senior lain ketika ini.

"Dalam Sukan SEA nanti, ramai pemain handalan tapi kami akan terus dengan cara kami sendiri.

"Prestasi atlet negara ketika ini amat memuaskan.

"Dari segi kedudukan, Indonesia tampak lebih kuat selain Thailand.

"Kedua-duanya adalah pencabar kita," kata Ng Tong.