Juara dunia lontar peluru Paralimpik , Ziyad Zolkefli, mahu menjadi simbolik luar biasa kepada kontinjen Paralimpik negara apabila diberi penghormatan menjadi salah seorang daripada tiga pembawa bendera dalam Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur, bulan depan.

Ziyad, Abdul Latif Romly dan Ridzuan Puzi dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang bagi Sukan Para ASEAN dalam majlis penyerahan bendera yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Ziyad, yang akan turut beraksi di pentas Sukan SEA bermula 19 Ogos ini, tidak menyangka akan diberi penghargaan seperti itu buat kali pertama sambil menyifatkannya sebagai penghormatan tertinggi buatnya sepanjang bergelar atlet.

Apa yang pasti, tonik baru itu akan mendorong Ziyad untuk melakar kejutan luar biasa bagi tidak mengecewakan rakyat Malaysia, apatah lagi kali pertama beraksi dalam dua temasya berprestij itu di laman sendiri.

"Saya tidak sangka dan hanya dapat tahu pada saat-saat akhir untuk menjadi pembawa Jalur Gemilang dalam temasya di tempat sendiri.

"Dalam ramai kawan-kawan saya yang hebat, saya terpilih.

"Maka, saya berasa sangat bersyukur," ujar Ziyad.

Ridzuan yang kali kedua diberi penghormatan membawa bendera negara selepas Sukan Para ASEAN di Singapura, dua tahun lalu, teruja melihat kelainan yang dibuat dalam edisi kali ini dengan tiga atlet dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang.

"Sukan Para ASEAN ini bukan saya seorang sahaja pembawa bendera, ada Ziyad Zolkefli dan Latif Romly juga.

"Saya memang teruja dan harap boleh lakukan yang terbaik," ujar Ridzuan, jaguh pecut 100m T36 Paralimpik.