Atlet pecut para kategori T12, Afiq Ali Hanafiah, diberikan tugasan tambahan oleh jurulatihnya, R. Jeganathan, apabila dia bakal menyertai bukan satu tetapi dua acara dalam Sukan Para Asia Indonesia, September depan.

Afiq mencipta sejarah di Gold Coast, April lalu, apabila menjadi atlet para pertama Malaysia dalam tempoh 16 tahun meraih pingat dalam acara balapan selepas Hisham Khaironi melakukannya pada 2002 di Manchester.

Namun, dalam Sukan Para Asia di Indonesia nanti, Afiq diberikan tugasan bukan sahaja untuk menumpukan kepada acara 100 meter pecut, malah dalam masa yang sama turut menggalas cabaran dalam acara pecut 200 meter.

Bagaimanapun, kali terakhir dia beraksi dalam acara tersebut adalah tiga tahun lalu ketika Sukan Para ASEAN Singapura 2015 yang menyaksikan dia merangkul emas.

"Kedudukan saya (dalam Sukan Para Asia) masih belum dipastikan lagi, mungkin ada peserta lebih bagus daripada saya semasa sesi kelayakan nanti.

"Jurulatih akan memilih atlet yang boleh memenangi medal. Jadi, saya perlu mengekalkan prestasi," katanya.

Namun, keputusan tersebut masih belum muktamad dan ia bergantung kepada tahap prestasi Afiq ketika sesi latihan.

Biarpun kini dalam bulan Ramadan, Afiq masih meneruskan rutin latihannya seperti biasa dengan turun ke trek Majlis Sukan Negara (MSN) seawal jam 7 pagi.

"Mungkin saya ada pencabar baru sebab Jepun termasuk China sudah mengeluarkan atlet muda. Saingan sangat sengit walaupun berdasarkan ranking, saya berada di kedudukan yang baik untuk memenangi medal.

"Saya akan cuba memenangi emas," katanya lagi.