Jurulatih renang negara, Chris Martin, menepis dakwaan bahawa Welson Sim berdepan cabaran sukar untuk mara jauh dalam Sukan Olimpik Tokyo, bulan depan berikutan masalah prestasi.

Pengendali dari Amerika Syarikat itu berkongsi pandangannya dengan wartawan Astro Arena, Bazly Azmi, mengenai masalah dihadapi anak buahnya itu hingga gagal menyinar dalam Terbuka Malaysia, hujung minggu lalu.

"Dia seperti atlet lain, berdepan masa sukar seperti semua orang.

"Dia terkurung selama 88 hari dan tidak banyak yang boleh dilakukannya.

"Awal tahun ini juga dia mengalami kemalangan ketika menunggang motosikal barunya.

"Jadi dia mengalami tahun yang sukar kerana kecederaan tetapi dia sedang cuba buat yang terbaik untuk bangkit," katanya dalam wawancara maya hari ini.

Walaupun belum mengumumkan sasaran terperinci dalam temasya di Jepun itu, Persekutuan Renang Malaysia (MS) tidak akan berpeluk tubuh dalam impian memberi cabaran bermakna di Jepun kelak.

"Sebagai jurulatih, saya cuba melakukan yang terdaya.

"Berkenaan KPI (indeks prestasi utama), agak melucukan untuk mengulas lanjut berikutan kami sudah tidak menyertai sebarang kejohanan selama 18 bulan," katanya.




Pemenang empat pingat emas dalam kejohanan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil itu, Khiew Hoe Yan, turut mengimpikan slot peluang khas berkenaan, namun Martin menjelaskan perenang berusia 19 tahun itu dalam situasi yang berbeza.

"Dia sedang mempamerkan peningkatan.

"Saya gembira kerana berkesempatan untuk berlatih. "