27 hari menuju Sukan Olimpik Tokyo 2020, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, meninjau persiapan fasa akhir skuad berbasikal trek negara khususnya Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom.

Kunjungan Reezal di Velodrom Nasional, Nilai, hari ini secara tidak langsung memberi petunjuk bahawa kepercayaan yang diletakkannya terhadap barisan pelumba basikal trek negara untuk menyumbang pingat walaupun belum ada sasaran spesifik buat kontinjen Malaysia dalam temasya sukan terbesar yang bermula 24 Julai hingga 3 Ogos depan itu.

"Mereka dalam persiapan yang cukup baik dan di tahap semangat yang amat tinggi.





"Saya yakin dengan persiapan dan bantuan jurulatih, John Beasley, serta pembantunya kerana membantu pasukan berbasikal trek negara terutama dalam acara keirin yang bakal memberi satu harapan kepada kita.

"Mereka perlu membawa semangat 'ganbatte' ini ke Tokyo .

"Azizulhasni dan Shah Firdaus mempunyai semangat juang yang kuat dan ia boleh dirasai rakyat Malaysia.

"Semangat bertanding ini akan dibawa bersama-sama seluruh rakyat Malaysia.

"Saya suka semangat yang dipamerkan oleh atlet berbasikal negara," katanya dalam lawatan pagi tadi.