Pelayar negara, Nur Shazrin Mohammad Latif, optimis untuk memperbaiki prestasinya dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 berbanding edisi di Rio, lima tahun lalu yang dilabelnya ketika itu "masih budak lagi".

Dalam penampilan pertamanya di Brazil, Nur Shazrin menamatkan saingan laser radial di tangga ke-33 tetapi berdasarkan persiapan fasa terakhir, dia yakin mampu mengurangkan kesilapan kecil yang akan menjejaskan prestasinya dalam temasya yang bermula 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Kem pelayaran bakal menjadi skuad pertama yang akan tiba di Jepun apabila bertolak pada 8 Julai depan, tetapi hanya akan turun menjalani latihan di laut Tokyo pada 14 Julai.

"Disebabkan pandemik ini, semua atlet tidak banyak menyertai kejohanan dan latihan, jadi kali ini peluang lebih terbuka.

"Saya akui masih banyak aspek lagi yang perlu dipertingkatkan.

"Contohnya saya perlu membuat permulaan yang baik dalam perlumbaan.

"Saya perlu agresif dan yakin tetapi perlu pastikan tidak melanggar peraturan yang pastinya lebih ketat berbanding kejohanan biasa.

"Permulaan yang baik boleh membantu saya mencatat keputusan yang baik," kata pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2018 itu.