Skuad olahraga berpeluang mendapat satu tiket peluang jika jaguh lompat tinggi, Lee Hup Wei, layak secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo, bermula 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu, memaklumkan kepada wartawan Astro Arena, Bazly Azmi, bahawa pihaknya diminta bersiap-sedia untuk mencalonkan seorang pelari pecut wanita selepas Hup Wei menggondol pingat emas dalam Terbuka Kazakhstan, Sabtu lalu.

"Setakat ini Lee Hup Wei akan bertanding secara peluang khas, tapi kalau dia layak dengan merit ke Tokyo, maka kami akan dapat satu tiket peluang khas untuk wanita.

"Kami tunggu pengesahan daripada Jawatankuasa Teknikal Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) pada 30 Jun ini dan calonnya masih belum boleh dinamakan," katanya.





Sementara itu, ketua jurulatih negara, Manshahar Abdul Jalil, tidak menolak satu ujian khas akan diadakan sebelum Rabu depan bagi menentukan pelari wanita terbaik negara.

Ia sebagai persediaan awal berbanding cara lama yang berdasarkan catatan peribadi terbaik.

"Agak singkat untuk memilih berdasarkan prestasi kerana tiada kejohanan terdekat.

"Kami terpaksa ambil satu pendekatan drastik.

"Ia akan ditentukan ujian khas selain tahap aspek-aspek lain yang boleh melayakannya.

"Kami akan melihat kesediaan atlet tersebut termasuk corak latihan mereka. Ada yang berlatih di MSN (Majlis Sukan Negara) dan luar.

"Ia harus diputuskan oleh KOM dan jawatankuasa pemilihan," kata Manshahar pula.