Atlet menembak negara, Nur Suryani Taibi, muncul atlet ke-23 negara yang mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Tokyo, bulan depan.

Ia perkhabaran yang tidak diduga seperti dalam perkongsian olimpian sebanyak dua kali itu bersama wakil Astro Astro, Adam Zamri, tatkala keseluruhan komuniti menembak hampir putus asa selepas gagal dalam percubaan sebelum ini untuk mendapatkan tempat dalam temasya sukan terbesar dunia berkenaan.

Berbeza dengan penampilan sulung dalam edisi London 2012 yang menyaksikan dia beraksi dalam acara individu 10 meter air rifle, tetapi kali ini Suryani bakal beraksi dalam acara kegemarannya iaitu 50 meter rifle tiga posisi.

Tiket peluang khas yang diperolehnya juga adalah berdasarkan keputusannya menduduki tangga ke-19 acara itu dalam Kejohanan Asia Doha pada 2019.

Dia pada mula tidak menyangka rezekinya malah terkejut sebaik dimaklumkan wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi.

"Macam mana wartawan tahu dulu daripada atlet?

"Memang ada dengar desas-desus tapi saya anggap mungkin rezeki orang lain. Apabila Bazly kata ia 50 meter rifle tiga posisi, (saya teruja) kerana ia acara kegemaran saya.

"Pada mulanya saya agak kecewa kerana dalam Kejohanan Asia 2019, saya kurang empat atau lima mata lagi untuk layak ke Sukan Olimpik.

"Pada masa itu saya bagaikan sudah putus asa.

"Semalam saya mendapat perkhabarannya sementara pengesahannya pagi ini," kata pemenang pingat perak Sukan Asia Incheon 2014 itu.

Biarpun mendapat perkhabaran gembira ini pada saat-saat akhir, Suryani telah bersiap siaga dengan meneruskan latihan biarpun dia tidak diletakkan dalam program "Road to Tokyo" (RTT) yang berpusat di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

"Selain menjalani tanggungjawab di rumah sementara suami pula mengikuti operasi (tugas) di luar.

"Saya berlatih di gimnasium di bawah penyelarasan kem polis di sini sementara (menunggu) dipanggil masuk ke RTT.

"Mengenai senjata saya tunggu ia diselesaikan secepat mungkin oleh MSN."