Jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa, mengangkat bendera putih untuk mengejar tiket Sukan Olimpik Tokyo apabila menamatkan kempen kelayakan temasya menerusi Kejohanan Olahraga True Athletes Classics di Jerman, semalam.

Pemegang rekod kebangsaan itu mencatat ketinggian 2.24m, sekali gus gagal menyertai kelompok ranking 32 terbaik dalam kelayakan Sukan Olimpik.

Sebelum ini, atlet berumur 29 tahun itu menghuni ranking ke-45 kelayakan dan perlu muncul juara di Leverkusen untuk menghidupkan peluang ke Jepun.

"Saya amat gembira sebab telah gigih berjuang hingga ke penghujungnya.

"Situasi amat sulit dan sukar untuk layak ke Sukan Olimpik.

"Oleh itu, saya lebih senang melihat sudut positif memandangkan kesukaran yang dihadapi atlet di seluruh dunia ketika ini (akibat COVID-19)," katanya dalam Nadi Arena sebentar tadi.




Dia juga lega mampu memperagakan persembahan tekal sepanjang beraksi di Eropah yang merangkumi kejayaan pingat emas di Republik Czech dan Hungary.

"Saya menyertai lima pertandingan dalam masa sebulan jadi fizikal saya terbeban untuk mengimbangi latihan dan mempamerkan lompatan berkualiti.

"Saya anggap ia sebagai positif (terhadap prestasi sendiri) kerana mampu melakukan catatan 2.27m, 2.22m dan 2.24m dalam tempoh 19 hari," katanya lagi.

Ini bermakna, Malaysia perlu menunggu pengumuman muktamad badan induk antarabangsa, Olahraga Dunia , yang dijangka esok berikutan bergantung kepada kedudukan seorang lagi jaguh negara, Lee Hup Wei, sedang menghuni tangga ke-25.

Jika layak secara merit, kontinjen Malaysia akan mendapat satu tiket peluang khas yang dijangka menjadi milik pelari pecut wanita, Azreen Nabila Alias.