Jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh, yang masih segar dengan pingat emas dalam Kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Hungary Siri Tatabanya tatkala dia hanya mempunyai satu jalan untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo, bermula 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Nauraj perlu melepasi had kelayakan 2.33 meter atau terpaksa melupakan temasya itu berdasarkan kedudukan ranking dunia.

Emas di Hungary dengan ketinggian 2.27 meter meningkatkan keyakinannya ke temasya Tokyo 2020 walaupun realitinya pemegang rekod kebangsaan itu kesuntukan masa untuk memperbaiki ranking ke-60 dunia dengan tarikh tutup kelayakan, 30 Jun ini.

Seramai 32 atlet terbaik ranking dunia berpeluang ke Jepun.

"Saya amat gembira. Ini lompatan ketiga tertinggi sepanjang karier saya selain merupakan yang tertinggi sejak 2017.

"Buat masa ini saya hanya mahu turun bersaing dan buat yang terbaik.

"Kalau berjaya layak ke Sukan Olimpik sudah pasti saya gembira. Tapi banyak rintangan yang perlu saya tempuhi berikutan situasi COVID-19 ketika ini.

"Lagipun peluang saya tipis jadi jalan terakhir saya untuk layak ialah membuat lompatan setinggi 2.33m," katanya dalam Nadi Arena sebentar tadi.