Majlis Olimpik Malaysia (MOM) masih belum membuat sebarang keputusan sama ada chef-de-mission (CDM) Sukan Olimpik Tokyo, Datuk Lee Chong Wei, akan turut serta ke temasya sukan terbesar itu atau tidak.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali tersebut terpaksa menimbangkan semula hasratnya itu selepas dinasihati doktor berikutan faktor kesihatan termasuk penularan COVID-19 yang masih belum reda di seluruh dunia.

"Seperti yang kita tahu dia pernah menghidapi barah, ia boleh membahayakannya jika pergi (ke Jepun) dan kami menghormati keputusannya.

"Status CDM belum berubah dan kami masih akan membuat perbincangan tentang kerja-kerja CDM untuk Sukan Olimpik akan datang.





"Kami masih belum ada calon mahupun perbincangan (untuk menggantikan Chong Wei).

"Kami akan membangkitkannya dalam Mesyuarat Ahli Jawatankuasa MOM, awal bulan depan," kata Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Najib, kepada wartawan Astro Arena, Yeoh Pek Xian, hari ini.