Harapan utama Malaysia dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, Azizulhasni Awang, mula menerima serangan psikologi selepas tuan rumah, Jepun, buat julung kalinya mengatur jadual padat tanpa waktu senggang.

Ini bermakna The Pocket Rocketman tidak akan mendapat waktu rehat daripada acara pecut ke keirin.

Begitupun, menerusi perkongsiannya bersama wartawan Astro Arena, Adam Zamri, pelumba dari Terengganu itu ternyata dalam kelas tersendiri menjelang temasya dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini dengan tidak melatah, sebaliknya sudah bersedia dengan simulasi untuk menghadapi senario sama.

"Jadual itu diaturkan oleh Jepun, tidak pasti adakah ia diaturkan oleh Maljlis Olimpik Jepun atau persekutuan negara itu sendiri.

"Acara pecut diadakan dalam masa tiga hari. Perlumbaannya begitu tegang tidak seperti keirin.

"Kalau kami berlumba pagi dan petang, ia ibarat perlumbaan sepanjang hari.

"Ia amat memenatkan dan pada hari ketiga perlumbaan, ia boleh menyebabkan kami 'flat out ( daya pecutan terjejas).

"Jadi ia membuka peluang lebih besar buat atlet Jepun.

"Mereka tidak begitu bagus dalam acara pecut tapi lebih fokus kepada keirin," kata juara dunia keirin 2017 itu dalam Nadi Arena.






Ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley, juga merangka persiapan teliti agar anak buahnya itu kekal di tahap terbaik.

"Kami 'bernasib baik' tidak layak dalam acara pecut berpasukan. Oleh itu kami akan menempuh lima hari perlumbaan berturut-turut.

"Kalau kami mara ke final pecut, kami akan melalui tiga hari perlumbaannya disusuli dua hari untuk keirin.

"Mereka (Jepun) mengatur jadual seperti ini sebab tumpuan utama mereka adalah keirin. Mereka cuba meletihkan pencabar utama dalam usaha menawarkan kelebihan buat mereka.

"Jika kami (Azizulhasni) tidak mara jauh atau menaiki podium untuk acara pecut, kami akan menyimpan (tenaga) sempena keirin memandangkan saya mempunyai dua pelumba terbaik dunia," katanya.




Dalam masa sama, walaupun namanya turut dicanang sebagai pelumba berpotensi, Shah Firdaus Shahrom mengakui masih cetek pengalaman dalam menjalani liku-liku temasya besar dunia seperti di Tokyo kelak.

"Walaupun ini Sukan Olimpik pertama saya, saya tetap tidak ambil mudah.

"Saya tidak meletakkan sasaran tinggi sebab belum berpengalaman untuk menghadapi suasana kejohanan besar seperti Sukan Olimpik.

"Ia pasti berbeza tapi apa yang boleh saya fokuskan ialah terhadap diri sendiri seperti mental dan fizikal. Selebihnya saya akan berikan yang terbaik," katanya.