Selepas kecewa terlepas peluang meraih slot ke Sukan Olimpik Tokyo dalam saingan kelayakan di Paris minggu lalu, Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) ditawarkan satu slot wanita ke temasya berkenaan yang bermula dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Antara calon utama ialah Syaqiera Mashayikh dan ini bermakna, dia dan Khairul Anuar Mohamed akan beraksi dalam acara recurve berpasukan campuran.




Ia secara tidak langsung menyukarkan Khairul Anuar selaku kapten skuad kebangsaan itu untuk menggalas tugas selaku Pembawa Jalur Gemilang di samping pemain beregu campuran, Goh Liu Ying, dalam upacara pembukaan temasya.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria, menjelaskan identiti pembawa bendera itu akan dibincangkan semula dan kemungkinan atlet badminton yang berpeluang menggantikan tempat pemanah kelahiran Terengganu tersebut.

"Ada isyarat daripada Khairul (Anuar) memandangkan pertandingan yang akan disertainya begitu dekat dengan upacara pembukaan.

"Jadi kami akan adakan perbincangan lebih lanjut dengan MSN kalau Khairul Anuar berasa berat hati untuk membawa bendera jadi kami terpaksa menggantikannya dengan atlet lain.

"Cuma atlet yang ada (berkelapangan) ketika itu ialah pemain badminton.

"Kami akan putuskan dalam masa terdekat," kata Norza.





Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menjelaskan Datuk Lee Chong Wei masih lagi chef-de-mission (CDM) Sukan Olimpik Tokyo.

"Semua tahu apa yang pernah beliau lalui.

"Beliau adalah atlet yang sentiasa mempamerkan semangat juang yang tinggi.

"Perjuangan beliau bukan hanya dalam sukan tetapi dalam keadaan kesihatan yang dilaluinya.

"Apapun, ia bergantung kepada perjumpaan saya dengan Norza.

"Buat masa ini (status) CDM kekal iaitu Datuk Wira Lee Chong Wei," kata Reezal.