Hasrat skuad karate negara untuk membuat penampilan pertama dalam Sukan Olimpik gagal berikutan harapan terakhir, R. Sharmendran, terkandas di peringat ketiga repecharge dalam kejohanan kelayakan di Paris, Perancis, kelmarin.

Setiausaha Agung Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad, berpendapat punca kegagalan skuad negara adalah kerana persiapan yang tidak lengkap dan kurang sempurna.

Bagaimanapun, Azmi berpuas hati dengan prestasi skuad karate yang meningkat secara mendadak dalam kejohanan tersebut.

"Kami hanya sempat membuat persiapan selama sebulan sahaja untuk melihat daripada segi kelemahan dan kelebihan kami.

"Kami sembuat berbual secara maya dengan jurulatih lain di Paris, mereka memberitahu sudah keluar dari negara masing-masing selama tiga bulan lalu disebabkan COVID-19.





"Kebanyakan negara Eropah sudah bebas kerana vaksin memainkan peranan penting.

"Walaupun tidak layak dan berpeluang tipis tetapi (perspektif) MAKAF menganggap ia satu pencapaian yang baik," katanya.

Selepas ini, skuad karate negara akan memusatkan perhatian kepada persiapan untuk memburu pingat dalam Sukan SEA 2021 dan Sukan Asia 2023.