Impian penerjun negara, Cheong Jun Hoong, buat penampilan ketiga Sukan Olimpik umpama telur di hujung tanduk.

Ia berikutan Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) mengubah kuota kelayakan temasya Olimpik Tokyo 2020 pada saat-saat akhir.

Hanya 12 penerjun terbaik Piala Dunia Tokyo, bulan lalu, layak secara automatik sementara bakinya akan diputuskan bulan depan.

"Kami sedang menunggu kesemua persekutuan menghantar nama penerjun mereka.

"Selepas itu barulah kita tahu kuota 68 atlet lelaki, begitu juga wanita.

"Dari situ kalau ada slot tambahan, barulah penerjun di ranking terbaik selepas itu boleh tersenarai.

"Kami tidak mahu mengatakan ia peluang tipis, mungkin juga ia satu peluang yang terbaik juga disebabkan isu keselamatan, ada persekutuan yang tidak menghantar wakil," kata Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Mae Chen, dalam laporan wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, hari ini.

FINA mengubah kuota kelayakan ke temasya di Jepun itu berbanding 18 terbaik Piala Dunia Tokyo.

Tindakan itu bagi mengawal jumlah penerjun memandangkan acara itu hanya diberikan kuota maksimum 136 penerjun dari seluruh dunia.

Jika ia berlaku, maka peluang Jun Hoong ke Sukan Olimpik cukup tipis memandangkan dia meraih tangga ke-18 peringkat separuh akhir 10m individu platform Piala Dunia Tokyo.

Setakat ini, Pandelela Rinong, Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabro dan Wendy Ng sudah sah melayakkan diri.