Di sebalik lagak ngeri yang sering dilakukan atlet gimnastik artistik seluruh dunia, tetap ada elemen kebimbangan yang dilalui mereka.

Tidak terkecuali gimnas lelaki nombor satu negara, Jeremiah Loo, yang perlu menawan kegentaran berdepan satu aparatus iaitu palang bertingkat selepas menerima pengesahan rasmi bahawa dia akan bertanding dalam Sukan Olimpik Tokyo, malam tadi.

"Palang bertingkat sering menjadi kelemahan saya sejak muda lagi.

"Aparatus itu memerlukan saya terbang ke sana sini selain melepaskan tangan.

"Dari dulu lagi saya memang takut tapi saya sedar untuk menjadi gimnas yang lebih baik, saya perlu mengatasi ketakutan ini," kata atlet berusia 23 tahun itu kepada wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani, sebentar tadi.

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 dalam aparatus kekuda berpelana itu mengesahkan kelayakan berdasarkan keputusannya menduduki tempat ke-87 dalam Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia 2019 di Jerman, tetapi berehat panjang tahun lalu bagi memberi fokus kepada pemulihan bahunya.

Justeru, dia berharap kemunculan yang memberangsangkan sebagai gimnas lelaki kedua selepas kali terakhir Ng Shu Wai melakukannya dalam temasya Anthens 2004.

"Saya cuma mahu melakukan yang terbaik dalam temasya kelak berikutan sudah lama tidak menyertai sebarang kejohanan selain tidak tahu sejauh mana tahap sebenar sendiri.

"Saya tidak memikirkan soal untuk mengatasi pencapaian Shu Wai selain berharap dapat mengatasi rekod peribadi.

"Segala pengorbanan dan usaha keras saya akhirnya berbaloi memandangkan saya perlu berkelana China selain terpaksa melupakan soal melanjutkan pelajaran."