Impian atlet karate-do negara, Prem Kumar, untuk membuat penampilan sulung menerusi Sukan Olimpik Tokyo 2020 terpadam apabila terkandas dalam pusingan ketiga kejohanan kelayakan di Paris, Perancis, hari ini.

Prem yang beraksi dalam kumite bawah 67kg tewas 0-5 kepada jaguh Turki, Samdan Eray, menerusi keputusan juri.

Pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2018 itu pada awalnya beraksi baik apabila menewaskan wakil Denmark dalam pusingan pertama diikuti Portugal, pusingan seterusnya.

Bagaimanapun, Prem gagal meneruskan rentak dalam pusingan ketiga apabila lebih banyak bertahan sepanjang pertarungan.

Juri memilih Eray selaku pemenang sekali gus menyaksikan peluang Malaysia kini digalas kapten kebangsaan, R Sharmendran, yang akan beraksi esok.