Jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, yang berpotensi ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 kecewa dengan tindakan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang melontarkan cabaran kepadanya sekiranya ingin membawa jurulatih ke temasya itu.

KOM menetapkan syarat atlet yang meraih tempat kelapan dalam Kejohanan Olahraga Dunia 2019 itu perlu layak secara merit ke temasya di Jepun itu, sama ada melepasi had kelayakan atau berada dalam kelompok 32 terbaik dunia.

Jika gagal atau mendapat tiket peluang khas, maka KOM akan mengetepikan jurulatih lompat tinggi negara, Alexander Gasparyan, sebaliknya menggantikannya dengan seorang ahli gabungan persatuan.

"Sepatutnya persatuan perlu meningkatkan peluang lebih ramai atlet (olahraga) layak ke Sukan Olimpik, bukan saya seorang sahaja. (Sekurang-kurangnya) lima orang boleh layak.

"Tempoh kelayakan belum ditutup.

"Kalau saya ada buat kesilapan teknikal (ketika kejohanan), jurulatih boleh menegurnya dan bukannya pengurus pasukan -- dia boleh tengok sahaja.

"Pengurus tidak tahu mengenai teknik, lebih menjurus ke arah pengurusan tetapi kalau jurulatih yang pergi (mengiringi saya), dia mampu melakukan pelbagai tugasan termasuk pengurusan," katanya.

Bekas pemegang rekod lompat kijang kebangsaan, Zaki Sadri, pernah mengalami situasi sama hingga terpaksa berputih mata untuk menyertai Sukan Olimpik Barcelona 1992.

KOM ketika itu membatalkan penyertaan Zaki dan ratu pecut, G Shanti, tiga hari sebelum berangkat ke Barcelona.