Perenang muda negara, Khiew Hoe Yan, menuntut keutamaan buatnya dalam perebutan tiket peluang khas ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, bulan depan.

Keyakinan itu seiring dengan kejayaan mengatasi jaguh senior, Welson Sim, dalam Kejohanan Renang Terbuka Malaysia di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hujung minggu lalu.

Ketika ditemu bual wartawan Astro Arena, Bazly Azmi, dia mengakui kejayaan itu menjadi pemangkin kepada selepas lebih setahun tidak menyertai sebarang kejohanan berikutan kekangan COVID-19.

"Saya telah melaksanakan tugasan dengan baik memandangkan keinginan saya untuk menjadi perenang yang bagus.

"15 bulan tanpa sebarang kejohanan jadi saya agak berpuas hati, lebih-lebih ini merupakan permulaan karier saya," katanya.




Hoe Yan mengatasi dua rekod kebangsaan selain melepasi had kelayakan kategori B Sukan Olimpik menerusi empat acara, namun kedudukannya belum lagi dijamin oleh Persekutuan Renang Malaysia (MS).

Dia lebih senang untuk membina reputasinya di kaca mata jurulatihnya, Chris Martin.

"Saya tidak pasti bagaimana dengan pemilihannya tetapi saya telah membuktikan bahawa saya juga seorang perenang yang baik.

"Saya telah melakukan apa yang termampu iaitu berenang dengan laju jadi saya juga mengidam untuk ke Sukan Olimpik.

"Buat masa ini (prestasi) saya lebih baik daripada Welson. Bukan sahaja saya beraksi dengan baik dalam acara gaya bebas, malah dalam kuak lentang yang merupakan acara kegemaran saya.

"Saya tidak bertanya terus kepadanya (Martin) mengenai perkara ini. Tumpuan saya ialah cuba meningkatkan keupayaan diri, itu nasihat yang saya cuba dapatkan daripadanya.

"Saya akan ubah (ikut saranannya) demi membuktikan kemampuan bahawa saya mampu menjadi perenang yang lebih baik," tambahnya.

Setiausaha Agung MS, Mae Chen, pula menjelaskan kriteria kelayakan ke temasya di Jepun itu ditetapkan berdasarkan ranking tertinggi dalam kejohanan anjuran Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) sepanjang 2019.

"Buat masa ini Welson Sim mencatatkan mata tinggi melalui prestasi Sukan SEA 2019 di Filipina," katanya.