Qabil Ambak Mahamad Fathil mencipta sejarah apabila menjadi ekuin pertama Malaysia yang layak ke Sukan Olimpik apabila mendapat tawaran Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa (FEI) untuk bertanding di Jepun, bulan depan.

Keputusan itu dibuat selepas beberapa ekuin negara lain menarik diri menjelang 50 hari lagi temasya di Tokyo.

Namun realitinya, menerusi perkongsian bersama wartawan Astro Arena, Bazly Azmi, Qabil sudah menjual kudanya, Qalisya, dan hampir menjual kuda simpanan untuk kategori dressage yang digelar 'The Last Show'.

"Berikutan tiada notis, pada awalnya saya ingin menjualnya juga tetapi kerana pandemik ketika ini, saya simpan dulu.

"Jadi ini tentunya satu rahmat.

"Last Show pernah menyertai beberapa pertandingan. Tetapi dalam kesuntukkan masa ini, keadaannya perlu baik dan begitu juga saya.

"Saya baru diberitahu jadi banyak persiapan yang perlu dibuat," katanya.




Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan memastikan Qabil dan kudanya diberi vaksin pandemik berkenaan dengan secepat mungkin.

Langkah itu penting sebelum menghantar kedua-duanya menghadapi ujian kecergasan yang ditetapkan FEI tetapi dalam masa yang sama, dia kini berada di Singapura sementara kudanya di Denmark.

Dia berdepan kekangan masa untuk kembali menunggangnya selain memerlukan tempoh untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dalam masa dua minggu ini.

"Ia satu cabaran, tidak mustahil tetapi rumit berikutan situasi semasa yang mendorong sekatan perjalanan dan pandemik.

"Agak sukar selain saya perlu meminta kebenaran ke Denmark, ia akan mengambil masa.

"Jadi ini satu berita yang agak menggembirakan sebenarnya (bantuan daripada MOM)."