Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom, dibekalkan enam buah basikal WXR ketika Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam usaha buru pingat emas sulung untuk Malaysia.

Setiap basikal untuk temasya dari 23 Julai hingga 8 Ogos itu berharga RM300,000.

Ia sudah mencapai tahap optimum dan sesuai mengikut keperluan Azizulhansi serta Shah Firdaus.

Justeru, tiada lagi sebarang penambahbaikan yang perlu dilakukan kerana kedua-duanya sudah sedia mencabar acara keirin dan pecut individu di Jepun kelak.

"Sudah pasti akan ada aspek kecil terhadap setiap model. Bagaimanapun, basikal meluncur tetap sama.

"Tidak banyak yang berbeza cuma ini adalah versi Olimpik. Warnanya lebih menonjol.

'Saya mahu anak buah saya rasa selesa dengannya dan coraknya bertahan. Ia basikal yang sama cuma warna yang berbeza. Tiada bezanya dengan basikal yang kami tunggang ketika ini," kata ketua jurulatih negara, John Beasley.