Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan membuat rayuan untuk menyenaraikan semula acara menembak dan memanah dalam Sukan Komanwel Birmingham 2022 menerusi perhimpunan agung tahunan di Kigali, Rwanda, September depan.

Pengguguran menembak dan memanah dalam temasya Birmingham 2022 merupakan satu tamparan kepada Malaysia.

Edisi di Gold Coast, Australia, tahun lalu menyaksikan skuad menembak menyumbang satu gangsa dengan pencapaian terbaik adalah dua emas ketika Sukan Komanwel 2010.

Memanah pula tidak dipertandingkan sejak 2010 yang menyaksikan Malaysia memungut satu perak.

Apa yang mengecewakan, skuad memanah negara masih segar dengan kejayaan Khairul Anuar Mohamad yang meraih perak dalam Kejohanan Dunia 2019 di Belanda, sekali gus layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Malaysia akan membuat rayuan.

"Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria, akan menghadiri mesyuarat agung tahunan.

"Kami berharap beliau akan membawa suara Malaysia yang mahukan dua jenis sukan ini turut disenaraikan," kata Timbalan Presiden MOM, Datuk Seri Abd Azim Mohd Zabidi.