Penembak negara, Ezuan Nasir Khan, mempersoalkan tindakan menggugurkan acara menembak dalam Sukan Komanwel Birmingham 2022 berikutan saingan itu dipertandingkan dalam semua sukan bertemasya utama dunia.

Pengguguran menembak dalam temasya Birmingham 2022 merupakan satu tamparan kepada skuad menembak negara.

Acara berkenaan dipertandingkan dalam Sukan Olimpik dan Sukan Asia, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kewajaran tindakan menggugurkan menembak.

"Acara dalam Sukan Olimpik sepatutnya diberi keutamaan dalam kejohanan besar seperti Sukan Komanwel, termasuk dalam Sukan SEA, agar lebih ramai atlet dapat tampil," katanya.

Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) memutuskan menembak dan memanah tidak tersenarai dalam temasya edisi ke-22 itu, namun meluluskan permohonan acara kriket wanita, bola tampar pantai dan ping pong para.

Keputusan muktamad akan dibuat dalam perhimpunan agung tahunan CGF di Kigali, Rwanda, September depan.

Skuad menembak meraih satu pingat perak dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018 manakala pencapaian terbaik negara adalah dua pingat emas di New Delhi, India, pada 2010.