"Berhenti kerja demi negara," demikian pengorbanan yang dilakukan jurulatih mendayung negara, Zarin Syukri Zaili, untuk memastikan skuad negara meraih pencapaian terpuji dalam Sukan Asia di Indonesia, Ogos ini.

Zarin menyertai barisan kejurulatihan skuad mendayung negara pada 2016.

Sebelum ini, jurulatih berusia 30 tahun itu merupakan pensyarah kejuruteraan automatif di Kolej Universiti Islam Melaka.

Dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja selepas mendapat peluang berbakti untuk negara bagi menghadapi Sukan Asia 2018.

"Sebelum ini, saya merupakan seorang pensyarah. Saya berhenti daripada kerjaya sebagai pensyarah supaya saya boleh fokus dalam kejurulatihan mendayung kebangsaan.

"Sukan Asia adalah peringkat sangat tinggi dan merupakan pengalaman baru buat saya. Sebelum ini saya hanya menyertai Kejohanan Mendayung Asia," katanya.

Skuad mendayung ke Sukan Asia diwakili dua atlet, Mohamad Amirul Norhadi dan Muhammad Khairuddin Azwi, dalam acara individu.

Melakukan persediaan sejak tahun lalu, mereka akan menjalani latihan intensif di Bukit Merah, Perak selama sebulan, bermula esok, sebagai persediaan mantap ke temaysa itu.

"Kalau boleh saya mahu melakukan yang terbaik, kalau boleh saya mahu berada dalam kelompok 10 terbaik. Ia bagi menaikkan tahap saya sebagai seorang atlet," kata Khairuddin.