Penerjun negara, Ng Yan Yee, enggan episod duka 2017 terus menghantuinya, sebaliknya bertekad mendapatkan kembali kepercayaan semua pihak, seterusnya meraih prestasi terbaik tahun ini selepas dijatuhi penggantungan lapan bulan ekoran kes doping.

Yan Yee nyata sudah mampu menarik nafas lega apabila baki tempoh penggantungannya kini tinggal kira-kira sebulan sahaja lagi untuknya kembali bersama skuad negara.

Kes doping yang menimpa dirinya sewaktu Sukan SEA Kuala Lumpur sememangnya memberi kesan mendalam terhadap dirinya kerana usahanya selama ini dianggap sia-sia yang menyaksikannya meraih pingat emas acara 3 meter papan anjal individu dan seirama.

Kini, sudah tiba masa untuk atlet berusia 25 tahun itu memandang ke hadapan kerana latihannya bakal bermula pada 26 April depan, apatah lagi kecederaan belakang dan buku lalinya masih dalam proses pemulihan.

"Saya berjuang untuk ini (Sukan Asia) dan saya sudah berlatih selama enam bulan untuk pulih daripada kecederaan ini.

"Saya ke gimnasium bagi mendapatkan kembali kecergasan. Ia akan memudahkan saya apabila kembali ke pasukan," katanya.

Sukan Asia Jakarta/Palembang pada Ogos depan semestinya bakal menjadi medan penting Yan Yee untuk meraih pingat dalam penampilan ketiganya selepas merangkul perak dalam dua edisi lalu.

"Dalam Sukan Asia sebelum ini, saya selalu memperoleh pingat dalam terjun seirama dan kali ini saya bekerja telah lebih keras dalam acara individu berbanding seperti biasa.

"Diharapkan semuanya berjalan lancar. Saya bekerja keras dalam Sukan SEA tetapi perkara itu (kes doping) berlaku," katanya lagi.