Skuad sepak takraw lelaki negara perlu membuktikan mereka antara prospek utama dalam pemburuan pingat apabila berada dalam kategori A bagi penyertaan ke Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.

Pengesahan itu dibuat oleh Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail.

Syarat pemilihan lebih ketat dilakukan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kali ini apabila menetapkan kedudukan empat terbaik dalam temasya sebelum ini menjadi kriteria.

Berdasarkan itu, skuad sepak takraw lelaki negara melepasi syarat berkenaan apabila meraih gangsa dalam edisi 2014 di Incheon bagi saingan regu dan berpasukan.

"Insya-Allah kami akan tingkatkan daripada dua gangsa. Kami sedang mengadakan perlawanan ujian dalam beberapa acara, dan ada lagi beberapa ujian yang harus dilalui pemain-pemain kita selepas ini," kata Ahmad.

Bagaimanapun, nasib skuad sepak takraw wanita negara masih tidak dapat diputuskan kerana tiada kejohanan sesuai untuk dijadikan ukuran pencapaian mereka sebelum ini.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, menjelaskan PSM akan kembali berbincang dengan badan induk itu mengenai nasib skuad sepak takraw wanita negara.

"Pencapaian terakhir yang mereka ada adalah 2014, ia bukanlah pencapaian yang terbaru. Mereka baru mendapat pingat gangsa dalam Sukan SEA

"Kami masih dalam perbincangan untuk meletakkan mereka dalam kategori A atau B sebab kekangan bajet.

"Kita mahu pastikan semua dapat tempat yang adil dalam penyertaan Sukan Asia," kata Nazifuddin.