Skuad taekwoando negara optimis mampu menamatkan kemarau 16 tahun tanpa pingat dalam saingan Sukan Asia apabila meletakkan sasaran untuk meraih dua gangsa walaupun mempertaruhkan tujuh atlet yang tidak pernah beraksi di pentas itu.

Kali terakhir taekwondo menyumbang pingat buat kontinjen Malaysia adalah ketika saingan di Busan pada 2002 menerusi Lee Pei Fan dan Soo Lai Yin.

Setelah 16 tahun berlalu, skuad negara yakin mereka mampu menamatkan badi tersebut di Indonesia nanti, khususnya acara poomsae yang dipertandingkan buat julung kalinya dalam Sukan Asia tatkala Chew Wei Yan dan Yap Kim Wen akan menjadi sandaran Malaysia bagi acara itu.

"Kami bukan pemain yang sangat hebat tetapi telah berlatih dengan gigih. Kami juga melihat bahawa selepas memenangi pingat dalam Kejohanan Asia, kami berpotensi untuk melakukan perkara sama di pentas Sukan Asia," kata Wei Yan.

"Saya rasa persiapan kami berjalan lancar. Banyak kejohanan yang telah disertai dan segalanya tampak bagus.

"Kami berharap dapat mengekalkannya sambil terus berkembang," tambah Khim Wen.

Dalam masa sama, satu lagi pingat gangsa turut disasarkan menerusi acara kyorugi.

Seramai lima atlet negara telah disenaraikan untuk menggalas cabaran itu, diketuai pemenang emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Rozaimi Rozali.

"Dalam Pra Sukan Asia, kami mengutip tiga perak dan satu gangsa untuk kyorugi sementara poomsae meraih satu perak, perkembangan tampak bagus, jadi kami yakin akan dapat mempamerkan aksi terbaik di Indonesia nanti," ujar jurulatih taekwondo negara, Syed Taufiq Syed Abdul Hamid.