Pemanah compound negara yang diketuai pemenang pingat emas Sukan SEA 2017, Juwaidi Mazuki dan Zulfadli Ruslan, berdepan cabaran dalam sesi latihan pertama menjelang Sukan Asia Indonesia bulan depan berikutan tanpa kehadiran jurulatih.

Pemanah compound negara melaporkan diri untuk menjalani kem latihan pusat hari ini. Ini sesi latihan pertama sejak mereka meninggalkan Bukit Jalil selepas menyumbang tiga pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur.

Cabaran lebih sukar dihadapi mereka berikutan ketiadaan jurulatih sejak Mohd Zaki Mahazan mengambil keputusan untuk membimbing skuad Kedah sejak akhir tahun lalu bagi menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) di Perak, September depan.

"Sudah beberapa tahun kami menghadapi situasi seperti ini, hanya sebulan dua sebelum temasya barulah kami dapat khidmat jurulatih.

"Kali ini, fokus kami pada minggu ini adalah untuk membiasakan dengan bilangan panahan memandangkan sebelum ini kami berlatih secara sambilan.

"Bilangan panahan kami tidak sebanyak ini dan kami cuma perlu membiasakan diri," kata Juwaidi.

Bagi Zulfadli pula, "Kami menghadapi kesukaran kerana dalam Sukan SEA 2017, kami dibimbing Zaki.

"Oleh itu, kami perlu mengkaji aspek teknik sendiri manakala selalunya, jurulatih, Lee Jae-hyung, akan membantu kami.

"Walaupun berdepan kesukaran, kami masih mempunyai rakan sepasukan yang saling membantu."

Skuad compound gagal menyumbang pingat dalam Sukan Asia Incheon 2014 dengan pencapaian terbaik menerusi Zaki yang meraih tangga keempat saingan individu.