Atlet jalan kaki negara, Elena Goh, seperti sudah boleh meramalkan nasibnya apabila panel Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak meluluskan namanya dalam senarai akhir ke Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.

Biarpun pada mulanya nama Elena berada dalam kelompok 20 atlet olahraga yang akan ke Indonesia, namun dia kurang yakin memandangkan terpaksa bersaing dengan beberapa nama besar dalam skuad olahraga kebangsaan.

Telahan Elena tepat setelah proses pemilihan dijalankan MOM beberapa hari lalu menyaksikan dia digugurkan, apatah lagi acara jalan kaki dilihat bukanlah satu prospek untuk Malaysia meraih pingat memandangkan saingan di pentas Asia amat sengit.

"Dua minggu sebelum saingan Terbuka Malaysia, jurulatih telah memberitahu kepada atlet-atlet jalan kaki bahawa harapan untuk bersaing dalam Sukan Asia agak tipis dan saya menerima keputusan itu," kata Elena.

Tumpuannya kini lebih terarah kepada persediaan Sukan SEA Manila 2019.

Difahamkan, saingan akan kembali ke format asal, iaitu jarak 20 kilometer berbanding ketika dia memenangi emas di Kuala Lumpur tahun lalu, dengan jarak saingan adalah 10km.

"Saya telah mula berlatih bagi saingan 20km bagi membiasakan diri untuk saingan Sukan SEA akan datang," ujarnya.