Chef de mission (CDM) ke Sukan Asia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, memohon kesabaran daripada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) memandangkan masih tiada perkembangan terkini daripada Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia (INASGOC) berhubung undian semula acara regu.

Beliau percaya INASGOC akan melakukan tindakan lanjut dalam masa terdekat tanpa menjejaskan sebarang persiapan skuad sepak takraw negara menjelang Sukan Asia.

"Latihan skuad sepak takraw diteruskan macam biasa. Saya yakin INASGOC akan dapat mengatasi masalah yang dihadapi sekarang," katanya.

Sementara itu, Azim tidak menolak kebimbangan terhadap keselamatan skuad negara selepas beberapa insiden tidak puas hati Indonesia terhadap penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu dengan mengharapkan jaminan keselamatan daripada INASGOC.

"Kami bimbang juga tetapi saya fikir tidaklah seburuk yang disangka.

"Kami tidak fikir faktor keselamatan akan menggugat atlet-atlet kita," ujarnya.