Berbaki 25 hari menjelang perasmian temasya sukan kedua terbesar di dunia, persiapan kontinjen negara dilihat berjalan lancar dalam kesemua aspek, antaranya jumlah atlet, perkampungan atlet dan isu keselamatan dibincangkan dalam Mesyuarat Pengurus Pasukan Sukan Asia hari ini.

Ketua kontinjen negara ke Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohamad Zabidi, mengesahkan sejumlah 426 atlet akan membawa cabaran negara di Jakarta dan Palembang bermula 18 Ogos hingga 2 September ini sambil dibantu 147 pegawai.

“Saya berbincang dengan pegawai keselamatan kita yang berada di Kedutaan Malaysia di Jakarta, antara perkara kita mohon supaya atlet kita tidak diprovokasi dan melakukan provokasi sewaktu memenangi sesuatu acara.

"Jika menang, bersoraklah tapi jangan sehingga mencolok mata pihak tertentu,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat berkenaan di Wisma OCM, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata selain aspek tersebut, perkara mengenai jumlah acara yang bakal disertai, urusan pengangkutan, jadual pertandingan serta penekanan daripada Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) turut dibincangkan.

“Kita akan mengambil bahagian dalam 35 daripada 40 jenis sukan, 49 daripada 67 jenis disiplin dan 207 daripada 463 jenis acara. Hanya lima sukan kita tidak hantar wakil, antaranya gusti, tenis dan besbol,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Azim berkata masih tiada gambaran terkini mengenai nasib skuad sepak takraw negara berhubung kesilapan tuan rumah, Indonesia, yang tidak menyenaraikan Malaysia dalam acara regu lelaki dalam majlis undian yang berlangsung di Jakarta awal bulan ini.

Beliau berkata Majlis Olimpik Asia (OCA) sudah mengetahui perkara itu dan mereka sedang meneliti rayuan yang dikemukakan.

"Sebenarnya, tiada perkembangan baru, OCA akan meminta dokumen daripada kita dan mereka juga akan meminta daripada Indonesia dan ASTAF (Persekutuan Sepak Takraw Asia) dan akan meneliti daripada situ,” katanya.

Semalam, Abdul Azim yang juga timbalan presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata sekiranya tiada penyelesaian, MOM akan mengemukakan rayuan kepada Panel Timbangtara yang akan bermesyuarat sebelum Sukan Asia berlangsung.

Penyertaan regu lelaki dalam Sukan Asia 2018 semakin kabur apabila Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Indonesia (INASGOC) telah mengedarkan jadual perlawanan sepak takraw kepada negara peserta malam tadi tanpa menyenaraikan skuad negara dalam acara berpotensi meraih pingat emas itu.

Sebaliknya, skuad lelaki negara kekal menyertai acara berpasukan regu dan beregu berpasukan dengan saingan sepak takraw yang berlangsung di Kompleks Sukan Jakabaring, Palembang akan berlangsung dari 19 Ogos hingga 2 September.

-- BERNAMA