Persatuan sukan kebangsaan rata-rata tidak berpuas hati apabila had kelayakan dinaikkan sehingga separuh daripada senarai atlet yang mereka calonkan terpaksa diletakkan dalam kategori B untuk ke Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.

Pegawai persatuan kecewa kerana hanya dimaklumkan mengenai had kelayakan baru itu pada saat-saat akhir.

Ia menyaksikan calon atlet mereka terpaksa dikurangkan atau ditanggung oleh persatuan sendiri.

"Jika tiada platform dalam Asia untuk menyedari pendirian kamu, kamu tidak akan ke mana-mana. Kamu harus melihat ke hadapan dalam Sukan Asia.

"Kamu harus buat pelaburan dalam sukan. Akuatik adalah sukan utama dalam pentadbiran sebelum ini tetapi sekarang ia berubah," kata Setiausaha Agung, Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen.

"Untuk acara berpasukan, perseorangan wanita dan beregu wanita, kita perlu berada di bawah kategori B di mana persatuan bayar sendiri dan jika dapat pingat mereka akan kembalikan perbelanjaan kepada persatuan," kata Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai.

"Selalunya semuanya penuh dalam kategori A tetapi kali ini agak terkejut sedikit kerana ada yang dalam kategori B," kata Pengurs Besar Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Osman Nok.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengambil serius terhadap kualiti atlet yang akan membarisi kontinjen negara ke Sukan Asia apabila mengetatkan proses pemilihan, khususnya had kelayakan bagi temasya berkenaan.

Antara jenis sukan yang dimasukkan dalam kategori B melibatkan badminton, silat, bola sepak, ragbi dan bola keranjang.

Persoalannya adakah tindakan ini akan meruntuhkan semangat atlet-atlet kebangsaan dalam persaingan antarabangsa?

Kategori A

• Terjun : 12 Atlet
• Renang : 3 Atlet
• Badminton : 14 Atlet
• Skuasy : 8 Atlet
• Silat : 11 Atlet
• Karate : 5 Atlet
• Pelayaran : 11 Atlet
• Sepak Takraw : 15 Atlet
• Bola Keranjang : 4 Atlet
• Bowling : 12 Atlet

Kategori B

• Badminton : 6 Atlet
• Silat : 10 Atlet
• Bola Sepak : 20 Atlet
• Ragbi : 12 Atlet
• Bola Keranjang : 12 Atlet