Peluang skuad angkat berat negara ke Sukan Asia Indonesia kembali terbuka selepas Program Podium mencadangkan pemenang pingat emas Sukan Komanwel, Muhamad Aznil Bidin dan Azroy Hazal Wafie Izhar, berlatih di Vietnam sebagai persediaan ke temasya itu Ogos depan.

Perkembangan itu membakar semangat badang negara untuk meneruskan kecemerlangan daripada Sukan Komanwel lalu.

Cuma, satu-satunya halangan ketika ini ialah Aznil dan Azroy masih belum menjalani ujian doping oleh Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas).

"Kalau angkat berat boleh pergi ke Sukan Asia, harap-harap kami boleh pergi ke Vietnam selepas hari raya nanti.

"Di sana, kami boleh fokus seperti Sukan Komanwel lalu. Harap-harap Program Podium juga dapat bantu kami dalam persiapan ke Sukan Asia ini," kata Aznil.

Minggu lalu, Chef-de-Mission (CDM) ke Sukan Asia, Datuk Seri Abd Azim Mohd Zabidi, berang dengan deretan kes doping angkat berat, sekali gus mencadangkan skuad angkat berat negara digugurkan daripada Sukan Asia.

Azim akan mencadangkan perkara itu dalam mesyuarat pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), minggu depan.